Yang Berhormat Menteri Desmond Lee,
Saya ingin meluahkan rasa bimbang tentang kemampuan rakyat Singapura untuk memiliki rumah atau hartanah. Saya juga ingin menyeru YB. dan para penggubal dasar agar mengambil langkah lebih serius dalam menangani isu ini. Saya yakin, mana-mana pihak yang berani mengambil pendirian tegas terhadap kenaikan harga rumah dan sewa pasti akan mendapat sokongan padu daripada rakyat.
Kisah Saya
Saya menulis sebagai seorang warganegara yang prihatin setelah lebih 10 tahun berkhidmat dalam sektor kesihatan Singapura. Sebagai pihak Penyelidikan dan Pembangunan di sebuah organisasi kesihatan komuniti, tugas saya ialah membantu pihak klinikal merancang program dan memahami keperluan pesakit melalui data. Saya mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang psikologi, falsafah, kesihatan awam dan ekonomi kesihatan.
Seperti ramai rakan sekerja di sektor bukan untung dan kesihatan, pendapatan saya sederhana (termasuk CPF) – cukup untuk hidup, tetapi tidak cukup untuk memiliki rumah di pasaran sekarang.
Isu perumahan ini sangat peribadi bagi saya. Pada usia 15 tahun, saya mendapat tawaran biasiswa Merit Award untuk belajar di Singapura. Keluarga menggalakkan saya menerimanya supaya dapat melepaskan diri daripada keadaan keluarga yang semakin buruk. Sejak itu, saya terpaksa tinggal menumpang atau menyewa bilik, sering berpindah-randah dan bergantung pada belas kasihan orang lain untuk mendapatkan tempat tinggal.
Walaupun sudah bekerja stabil dan menabung selama 10 tahun, saya masih tidak mampu memiliki rumah sendiri. Ketika mula bekerja pada tahun 2017, saya berharap dengan bekerja keras dan berjimat cermat, suatu hari nanti saya boleh membeli rumah sederhana. Walaupun sewa bilik ketika itu menelan $900 sebulan (30% daripada pendapatan), saya masih boleh menabung 40-50% daripada gaji bersih. Saya yakin menjelang usia 35 tahun, saya sudah boleh memiliki rumah dan membina keluarga.
Malangnya, harga hartanah di seluruh Singapura melambung tinggi, diikuti dengan kenaikan sewa dan kos sara hidup. Institusi kewangan seperti DBS dan POSB menyarankan perbelanjaan perumahan tidak melebihi 30% pendapatan. Namun sekarang, sewa sebuah bilik sahaja sudah mencecah 35-40% gaji bersih pekerja berpendapatan sederhana. Tabungan kita semakin tidak mencukupi. Bagaimana kami boleh mengejar/’catch-up’? Semakin hari, semakin hilang harapan untuk memiliki rumah - sesuatu yang saya percaya merupakan hak asasi setiap rakyat Singapura.
Walaupun saya bangga dengan kerja dan komuniti yang saya bina selama ini, saya semakin terpaksa mempertimbangkan untuk meninggalkan semuanya - pekerjaan, kejiranan dan hubungan sosial - demi mencari kerja yang lebih lumayan. Saya seperti dipaksa memilih antara meneruskan khidmat masyarakat atau memikirkan masa depan sendiri. Situasi ini sangat tidak adil dan bercanggah dengan nilai-nilai komuniti yang menjadi teras Singapura.
Nasihat Kerajaan yang Tidak Membantu
Ketika saya meminta bantuan daripada Ahli Parlimen Jalan Besar, saya diberitahu bahawa pendapatan saya tidak layak mendapat bantuan yang bermakna. Tambahan pula, pada usia 32 tahun, saya tidak boleh cepat-cepat memohon rumah sebelum harganya melambung lagi. Ahli Parlimen saya memberikan "nasihat" yang langsung tidak membantu: menyewa rumah bersama kawan-kawan, meminta disewa rumah dengan harga murah daripada kenalan, dan sebagainya.
Saya ingin menegaskan betapa jauhnya "cadangan" ini daripada realiti sebenar. Ini bukan penyelesaian, tetapi sekadar langkah sementara yang membebankan rakyat biasa yang sudah terpinggir oleh dasar perumahan sedia ada.
Pertama, berkongsi rumah dengan orang lain sudah menjadi kebiasaan saya selama 15 tahun, dan ia juga realiti bagi kebanyakan penyewa. Kehidupan begini penuh dengan ketidakpastian dan kurang privasi.
Kedua, tidak munasabah untuk mengharapkan kebaikan hati rakan-rakan secara berterusan. Mereka juga ada keluarga sendiri yang perlu dijaga. Tambahan pula, rumah moden sekarang semakin kecil dan sempit.
Keadaan saya dan ramai rakyat lain bukan disebabkan pilihan peribadi atau kurang usaha, tetapi kegagalan sistem: bantuan hanya untuk mereka yang memenuhi syarat pendapatan dan umur; rumah stabil hanya untuk isi rumah yang sesuai dengan acuan dasar. Bagaimana dengan kami yang tiada keluarga untuk diharapkan, atau tidak boleh berkeluarga kerana tiada rumah? Kami tidak meminta simpati - kami mahukan tindakan.
Krisis Perumahan yang Semakin Meruncing
Saya amat kecewa dengan sikap YB. dan kerajaan yang lembap dalam menangani isu perumahan. Ini mengikis kepercayaan rakyat terhadap konsep meritokrasi di Singapura. Apabila harga rumah dan sewa melambung tinggi, keadaan ini tidak ubah seperti feudalisme moden - di mana golongan berada mengaut keuntungan daripada keringat golongan kurang mampu.
Keadaan ini menunjukkan ketiadaan wawasan jangka panjang Kementerian Pembangunan Negara (MND) dan kegagalan HDB dalam memenuhi mandatnya. Ketidakstabilan harga rumah dan sewa menyebabkan:
Pertamanya, Masa dan tenaga terbuang untuk mencari rumah sewa yang berpatutan. Proses mencari rumah, berurusan dengan ejen dan tuan rumah sangat memenatkan dan perlu diulang setiap tahun.
Kedua, Pekerja semakin hilang semangat apabila menyedari pendapatan mereka hanya mampu menyewa bilik yang semakin kecil dan usang.
Tiga, Komuniti semakin renggang apabila rakyat terpaksa berpindah kerana isi rumah semakin kecil dan sewa semakin mahal.
Empat, Kos tersembunyi seperti perbelanjaan berpindah dan deposit baru memburukkan lagi keadaan kewangan.
Akhirnya, Rakyat yang kecewa mungkin akan mencari penyelesaian radikal apabila tiada harapan untuk memiliki rumah.
Cadangan Dasar
Saya memilih menjadi warganegara Singapura kerana percaya ini adalah tanah air saya. Mungkin saya silap. Mungkin saya terlalu naif untuk berharap orang seperti saya boleh memiliki rumah dengan bermaruah.
Namun, saya berharap kerajaan - dalam bentuk apa pun selepas pilihanraya 2025 - akan menilai semula dasar perumahan negara. Perumahan bukan komoditi untuk diperdagangkan - ia adalah keperluan asas dan hak setiap rakyat.
Saya menyeru semua pihak untuk menyokong dasar berikut:
Perumahan
Pertama, Tambah pilihan perumahan awam dan model bukan untung seperti kohabitasi berbayaran rendah.
Kedua, Beri insentif kepada tuan rumah yang mengekalkan kadar sewa berpatutan dan menjaga keadaan rumah.
Tiga, Pisahkan perumahan daripada pelaburan hartanah: Hadkan harga jualan rumah; Kenakan cukai progresif untuk pemilik pelbagai hartanah; Perkenalkan cukai kekosongan; Kuatkuasakan cukai keuntungan modal untuk "flip" hartanah
Komersial
Pertama, Kawal sewa premis komersial dan beri keutamaan kepada peniaga lama.
Kedua, Hadkan pemilikan premis niaga kecil kepada peniaga tempatan.
Tiga, Kenakan denda kepada tuan rumah yang sengaja membiarkan premis kosong.
Cara kita menangani isu perumahan hari ini akan menentukan masa depan negara. Saya menyeru YB. untuk meletakkan rakyat - bukan keuntungan - sebagai keutamaan dalam dasar perumahan.